Home
>
E-Learning
>
Sistem E-Pembelajaran Lotus Learningspace
.
SISTEM E-PEMBELAJARAN LOTUS LEARNINGSPACE
Sistem e-pembelajaran Lotus LearningSpace yang digunakan adalah Lotus LearningSpace versi 3.0. Sistem ini adalah kombinasi sistem pengurusan pembelajaran (Learning Management System, LMS) dan sistem pengurusan kandungan pembelajaran (Learning Content Management System, LCMS).
Terdapat lima modul yang dipakejkan dalam sistem Lotus LearningSpace versi 3.0. Modul pertama adalah modul penjadualan (Schedule) yang memapar maklumat kuliah serta amali termasuk perangkaian tajuk kuliah kepada bahan pembelajaran, modul perbincangan dan set soalan penilaian. Dokumen tambahan boleh dikepilkan dalam modul ini untuk dimuat-simpan oleh pelajar.
Modul kedua adalah modul repositori bahan multimedia (MediaCentre). Bahan multimedia digital boleh dimuat hantar ke dalam modul ini dan perangkaian boleh dibuat melalui modul penjadualan atau pun modul perbincangan. Modul repositori ini juga diintegrasikan dengan perpustakaan multimedia (multimedia library), iaitu sebuah aplikasi sistem pengurusan pangkalan data Lotus Notes.
Modul ketiga adalah modul perbincangan atau interaksi dalam talian (CourseRoom). Modul ini membolehkan perbincangan atau interaksi di antara pensyarah dan pelajar dilaksanakan secara terbuka, tertutup dengan pensyarah atau pelajar tertentu atau tertutup dengan kumpulan pelajar yang ditetapkan. Pensyarah dan pelajar juga boleh menggunakan modul perbincangan untuk bertukar-tukar dokumen atau sebagai medium penyerahan fail tugasan oleh pelajar kepada pensyarah. Selain daripada berbincang, modul ini juga boleh digunakan sebagai medium untuk melaksanakan kaji selidik. Pensyarah atau pelajar boleh menggunakan templat cerapan (voting) yang dibina dalam modul ini untuk mendapatkan cerapan mengenai sesuatu isu. Cerapan akan dirumus secara automatik oleh sistem.
Modul keempat adalah modul profail pensyarah dan pelajar (Profiles). Melalui modul ini, pelajar dan pensyarah boleh mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat kerana maklumat peribadi yang umum seperti kegemaran, alamat kediaman dan gambar boleh dipaparkan. Dalam modul profail juga terdapat potfolio peribadi yang memaparkan keputusan dan gred ujian pelajar. Gred dan keputusan ujian ini dijana oleh sistem jika pelajar tersebut sudah menduduki ujian, kuiz atau peperiksaan yang dilaksanakan melalui modul pengurusan penilaian.
Modul kelima adalah modul pengurusan penilaian (Assessments). Modul ini membolehkan pensyarah menyediakan soalan dalam pelbagai format dan soalan yang disediakan ini boleh disimpan dalam bank soalan. Seterusnya, melalui modul ini, set soalan penilaian dalam talian untuk penilaian kendiri, kuiz, peperiksaan atau kaji selidik boleh disediakan oleh pensyarah untuk capaian pelajar pada masa yang ditentukan.