 |
Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (JKKP) adalah satu kemestian di bawah Akta 514: Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) tahun 1994 bagi organisasi yang mempunyai lebih daripada 40 pekerja. Perihal khusus berhubung dengan penubuhan JKKP diperjelaskan dalam Peraturan KKP (JKKP) tahun 1996. Sehubungan itu, Universiti Sains Malaysia menerusi mesyuarat EXCO Naib Canselor ke 68/97 telah mengarahkan penubuhan JKKP di peringkat universiti, kampus cawangan dan pusat pengajian bermula pada tahun 1999. Namun begitu, maklumat berkenaan peraturan dan arahan tersebut tidak diterima oleh Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK). Oleh itu, pihak PPSK tidak tahu menahu akan keperluan menubuhkan JKKP secara tetap di peringkat pusat pengajian.
Pada 12 Julai 2003, Prof. Dr. Zainul F. Zainuddin selaku Dekan PPSK telah menerima Pelan Tindakan Mencegah Kemalangan Di Makmal/Bengkel (PTMKM) bertarikh 23 April 2003 yang dikeluarkan oleh Unit Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan Universiti pada 28 Jun 2003. PTMKM tersebut telah menyenarai pelbagai tindakan yang perlu diambil oleh pusat pengajian untuk menangani pelbagai isu keselamatan & kesihatan pekerjaan di peringkat pusat pengajian. Satu daripada tindakan yang disenaraikan ialah tanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan KKP menerusi JKKP di peringkat pusat pengajian. Sehubungan itu, Dekan telah mengarahkan penubuhan JKKP di PPSK secara kekal dengan mengambilkira keperluan untuk melaksanakan PTMKM tersebut. |  |